KUALA LUMPUR 13 Ogos - Kenaikan harga tayar memberi petunjuk kepada peningkatan harga alat ganti dan kos penyelenggaraan kenderaan bermula 1 September ini.
Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia ( FOMCA), Mohd. Yusof Abdul Rahman berkata, pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) bermula 1 September ini dilihat bakal menjejaskan industri automotif berikutan harga kenderaan bakal meningkat.
“Dengan pelaksanaan SST, harga kereta tempatan bakal meningkat sama seperti harga kereta import.
“Kenaikan harga tayar bakal memberi impak yang tinggi kepada pengguna dan ini sekali gus meningkatkan kos penyelenggaraan kenderaan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Semalam, tular dalam media sosial mengenai harga tayar beberapa jenama terkenal akan meningkat selepas pelaksanaan SST melibatkan kenderaan penumpang trak ringan dan van.
Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, pengguna perlu lebih bijak membuat pilihan dan pembelian bagi mendapatkan tayar pada harga lebih berpatutan.
“Terdapat banyak tempat yang menawarkan tayar dan barangan alat ganti kenderaan pada harga jauh lebih murah. Dalam hal ini, pengguna perlu bijak berbelanja dan pilih lokasi yang menawarkan harga lebih berpatutan.
“Pengguna juga disarankan supaya lebih berjimat cermat dalam penggunaan barangan seperti menyimpan kad jaminan barangan yang dibeli agar boleh membuat tuntutan jika ada sebarang kerosakan kepada pihak yang berkenaan pada masa hadapan,” jelasnya.
Untuk siaran Utusan Malaysia 14/08/2018
Blog ini diwujudkan bagi menyampaikan berita-berita menarik untuk tatapan dan menjadi bahan bacaan santai pengunjung.
Monday, 13 August 2018
Sunday, 12 August 2018
KUALA LUMPUR 7 Ogos – Kerajaan digesa teliti semula cadangan pemansuhan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) kerana program tersebut terbaik untuk membentuk jati diri golongan belia.
Siaran 8 Ogos 2018 Utusan Online
Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Zambri Mohd. Isa (gambar) berkata, PLKN tidak wajar dimansuhkan kerana menerusi program itu mampu melahirkan golongan belia berketrampilan baik.
“Jika PLKN dimansuhkan kerajaan akan berhadapan dengan kerugian kerana program itu melahirkan ramai belia mempunyai semangat patriotisme dan kesukarelawan yang tinggi.
“Kerajaan perlu kaji semula dengan mengambil kira aspek positif dengan menambah baik modul latihan termasuklah memendekkan tempoh latihan dari tiga bulan kepada satu bulan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
PLKN merupakan ilham bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika beliau sebagai Menteri Pertahanan dan program tersebut wajar diteruskan kerana melahirkan lebih ramai belia dengan semangat cinta negara yang tinggi melalui modul kenegaraan dan latihan disiplin.
Sementara itu, Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung Negeri Perak, Hasnul Fairuz Hushin Amri berkata, PLKN tidak wajar dimansuhkan kerana ia bakal memberi implikasi negatif kepada golongan belia khususnya.
“PLKN hanya perlu penambahbaikan bukan dimansuhkan kerana program ini perlu wujudkan bagi melahirkan generasi berdikari dan berdaya saing” katanya.
“Jika kerajaan menurunkan had umur layak mengundi kepada 18 tahun berbanding 21 tahun, maka PLKN adalah satu platform terbaik bagi melahirkan pemimpin dalam kalangan belia,” katanya.
Siaran 8 Ogos 2018 Utusan Online
Subscribe to:
Posts (Atom)