KUALA LUMPUR 13 Ogos - Kenaikan harga tayar memberi petunjuk kepada peningkatan harga alat ganti dan kos penyelenggaraan kenderaan bermula 1 September ini.
Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia ( FOMCA), Mohd. Yusof Abdul Rahman berkata, pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) bermula 1 September ini dilihat bakal menjejaskan industri automotif berikutan harga kenderaan bakal meningkat.
“Dengan pelaksanaan SST, harga kereta tempatan bakal meningkat sama seperti harga kereta import.
“Kenaikan harga tayar bakal memberi impak yang tinggi kepada pengguna dan ini sekali gus meningkatkan kos penyelenggaraan kenderaan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Semalam, tular dalam media sosial mengenai harga tayar beberapa jenama terkenal akan meningkat selepas pelaksanaan SST melibatkan kenderaan penumpang trak ringan dan van.
Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, pengguna perlu lebih bijak membuat pilihan dan pembelian bagi mendapatkan tayar pada harga lebih berpatutan.
“Terdapat banyak tempat yang menawarkan tayar dan barangan alat ganti kenderaan pada harga jauh lebih murah. Dalam hal ini, pengguna perlu bijak berbelanja dan pilih lokasi yang menawarkan harga lebih berpatutan.
“Pengguna juga disarankan supaya lebih berjimat cermat dalam penggunaan barangan seperti menyimpan kad jaminan barangan yang dibeli agar boleh membuat tuntutan jika ada sebarang kerosakan kepada pihak yang berkenaan pada masa hadapan,” jelasnya.
Untuk siaran Utusan Malaysia 14/08/2018
No comments:
Post a Comment