Monday, 10 September 2018

33 Klinik 1Malaysia perlu tambahbaik bukan mansuh

KUALA LUMPUR 3 Sept. – Klinik 1Malaysia sewajarnya diberi penambahbaikan bukannya ditutup berikutan kewujudannya banyak membantu mengurangkan beban golongan berpendapatan rendah (B40).

Pengerusi Gerakan Muslimah Islam Malaysia (GMIM), Wan Asshima Kamaruddin berkata, sehubungan itu, kerajaan digesa mengkaji semula penutupan 33 Klinik 1Malaysia secara berperingkat.

“Kerajaan seharusnya menambah baik segala penstrukturan dan konsep klinik bagi memenuhi keperluan rakyat.  

“Klinik 1Malaysia perlu diteruskan oleh kerajaan kerana fungsi klinik ini memberi impak positif kepada rakyat khususnya golongan B40,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini. 

Laporan akhir tiga isu utama melibatkan Kementerian Kesihatan akan dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet akan datang, 

Tiga laporan berkenaan adalah berhubung penstrukturan semula Klinik 1Malaysia, kes gangguan seksual melibatkan Pegawai Perubatan Siswazah (PPS) dan cadangan kenaikan kadar caj perundingan pengamal perubatan dan doktor bagi perkhidmatan di klinik dan hospital swasta.

Sementara itu, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd. Yusof Abdul Rahman berkata, kerajaan perlu menyediakan satu alasan yang kukuh tentang penutupan 33 klinik 1Malaysia agar tidak mendatangkan perspektif negatif daripada rakyat. 

“Tiada masalah jika kerajaan ingin menutup Klinik 1Malaysia tetapi perlu pertimbangkan penutupan ini agar tidak menyusahkan rakyat pada masa hadapan. 

“Jika alasan kerajaan menutup Klinik 1Malaysia adalah disebabkan kekurangan pesakit dan tempat yang tidak strategik maka tindakan sedemikian wajar bagi mengelakkan pembaziran,” katanya.




No comments:

Post a Comment