Wednesday, 26 September 2018

PPZ anjur futsal pupuk generasi muda bayar zakat

NIK AMIRAH NIK ZULKIFLI

KUALA LUMPUR 18 Ogos - Pusat Pungutan Zakat-MAIWP (PPZ-MAIWP) menganjurkan program kejohanan futsal yang berjaya menarik seramai 150 peserta terdiri daripada 15 pasukan.

Ketua Pegawai Eksekutif PPZ, Ahmad Shukri Yusoff berkata, kejohanan futsal tersebut diadakan sebagai salah satu strategi kempen bagi menarik generasi muda untuk membayar zakat.

“Ini merupakan kali pertama pihak PPZ menganjurkan kempen seperti ini bagi menarik golongan muda selain dapat mengeratkan hubungan silaturahim sesama Islam.

“PPZ sentiasa bersedia melakukan penambahbaikan bagi memudahkan urusan bayaran zakat kepada para pelanggan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan program Kejohanan Futsal PPZ di sini hari ini.

Tambah beliau, program kejohanan futsal tersebut juga merupakan satu medium dakwah santai bersama sahabat zakat dan aktiviti mendedahkan generasi muda untuk lebih mengetahui tentang kewajipan berzakat.

Dalam pada itu Ahmad Shukri berkata, para pelanggan boleh membuka akaun zakat dengan bayaran serendah RM10 dan golongan yang menjadi sasaran adalah mereka  yang berusia 40 tahun ke bawah.

“Chatbox antara pembaharuan yang pihak PPZ-MAIWP lakukan yang mana para pelanggan dapat bertanya dengan menggunakan aplikasi Facebook dan WhatsApp.


Untuk Siaran Utusan Malaysia 19/8/18












Perokok tidak layak terima zakat

NIK AMIRAH NIK ZULKIFLI

KUALA LUMPUR 12 Sept. – Pihak pengurusan zakat diminta teliti semula wang pemberian zakat kepada golongan yang benar-benar layak menerima bantuan wang zakat dan bukan dari golongan perokok.

Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Muzaffar Syah Mallow berkata, golongan perokok ini seharusnya tidak layak diberikan wang zakat kerana mereka akan terus membazir dan melakukan kemudaratan ke atas diri mereka.

“Secara umumnya terdapat beberapa golongan yang layak menerima zakat antaranya ialah fakir, miskin, mereka yang terlibat dalam institusi zakat sama ada individu mahupun organisasi dan sebagainya.

“Perlu mengambil serius masalah ini serta memastikan semua bakal penerima bantuan zakat tidak membazirkan wang kepada aktiviti yang tidak berfaedah seperti ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Menerusi dalam satu kenyataan oleh Mufti Selangor, Datuk Mohd. Tamyes Abd. Wahid, golongan yang terbelenggu dengan gaya hidup gay, lesbian, mak nyah dan pelacur merupakan penerima bantuan zakat Al-Riqab di Selangor.



Untuk Siaran Utusan Malaysia 13 Sept 2018

http://www.utusan.com.my/berita/nasional/perokok-tidak-layak-terima-zakat-1.746138

UIAM kampus Gombak terima zakat korporat RM210,000





MUHAMAD IZZAT NASURUDEN dan NIK AMIRAH NIK ZULKIFLI/pix Saiful Bahari /=bo

KUALA LUMPUR 4 Julai – Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kampus Gombak menerima sumbangan zakat korporat berjumlah RM210,000 daripada Etiqa Family Takaful Berhad.

Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Prof. Datuk Seri Dr. Zaleha Kamaruddin berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak RM100,000 akan disalurkan kepada Tabung Wakaf UIAM bagi tujuan membantu pelajar UIAM yang memerlukan bantuan kewangan.

“Manakala RM110,000 akan digunakan untuk menempatkan dua mesin dialisis di Pusat Dialisis UIAM Kuantan yang bakal diwujudkan.

“Kita berharap sumbangan ini dapat diteruskan pada masa akan datang oleh syarikat-syarikat korporat lain bagi memastikan nasib golongan pelajar kurang berkemampuan terus mendapat perhatian pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam perasmian majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri 2018 UIAM yang berlangsung kampus Gombak, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Zaleha berkata, seramai 2,000 pelajar telah menerima manfaat hasil daripada dana yang terkumpul dalam Tabung Wakaf UIAM sejak tahun lepas.

Katanya, kewujudan tabung wakaf tersebut membolehkan ramai warga UIAM yang terdiri daripada pelajar dan kakitangan yang memerlukan menerima bantuan kewangan.

“Melihat kepada sumbangan daripada orang ramai, kita merancang untuk melancarkan Bank Budi untuk memberi pertolongan kepada warga UIAM yang memerlukan pada masa akan datang,” katanya.

Tambah Zaleha, modul bank tersebut akan diambil dari Switzerland dan pihaknya sedang melakukan kajian berhubung perkara tersebut.

Utusan Siaran Utusan Malaysia 5 Julai 2018

Bersatu Bukan Umno kedua

NIK AMIRAH NIK ZULKIFLI 

KUALA LUMPUR 22 Sept.-Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak akan menjadi UMNO yang kedua kerana parti itu mempunyai kredibiliti mereka tersendiri meskipun dikhabarkan ramai bekas ahli UMNO mahu menyertai parti tersebut. 

Penganalisis politik, Prof. Dr. Awang Azman Awang Pawi berkata, hanya bekas ahli UMNO yang terpilih sahaja akan menyertai Bersatu namun itu tidak memungkinkan untuk menganggap Bersatu adalah UMNO yang kedua. 

“Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang juga Pengerusi Bersatu telah menetapkan beberapa syarat bagi ahli UMNO yang ingin menyertai Bersatu iaitu mereka perlu keluar dari UMNO dan hanya mereka yang dipilih oleh Dr. Mahathir sahaja yang boleh menyertai Bersatu. 

“Jika lebih ramai ahli UMNO menyertai Bersatu, ini bakal menjatuhkan keyakinan rakyat terhadap parti tersebut,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia disini hari ini. 

Desas-desus mengenai usaha memujuk Ahli Parlimen UMNO supaya menyertai Bersatu semakin hangat diperkatakan apabila Dr. Mahathir mengakui memang terdapat beberapa pemimpin umno menemuinya baru-baru ini.

Sementara itu, Pensyarah di Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr. Mohd. Izani Mohd. Zain berkata, Bersatu tidak mungkin menjadi UMNO yang kedua kerana sudah tentu mereka tidak mahu dilihat hanya bergantung kepada kekuatan daripada penghijrahan Ahli Parlimen UMNO. 

“Saya percaya Bersatu tidak mahu dilihat sebagai sebuah parti yang bergantung kekuatan daripada UMNO. Bersatu perlu lebih berhati-hati untuk menerima kemasukan ahli UMNO ini,”katanya.

Dalam pada itu, penganalisis politik, Prof. Datuk Dr Redzuan Othman pula berpandangan, desas-desus penghijrahan pemimpin UMNO ke Bersatu tidak akan sesekali mencemarkan nama baik UMNO.

“UMNO dilihat sebagai sebuah parti yang baik kerana sudah mengungguli tampok pemerintahan selama 60 tahun. Sukar untuk diramal kerana bekas ahli UMNO yang keluar dari parti tersebut tidak mengeluarkan kenyataan bahawa mereka akan menyertai Bersatu.

“Tidak mudah untuk gugat nama baik UMNO kerana parti tersebut mempunyai rekod yang baik selama memerintah negara,” jelasnya.


Untuk siaran Utusan Malaysia 23/09/18
Sambut baik had umur layak mengundi 



NIK AMIRAH NIK ZULKIFLI 

KUALA LUMPUR 20 Sept. – Had umur layak mengundi yang diturunkan kepada 18 tahun berbanding 21 tahun disambut baik daripada pelbagai pihak, ini bagi mengambil kira dasar prinsip demokrasi dalam kalangan rakyat. 

Setiausaha Agung Majlis Belia Malaysia (MBM), Ahmad Saparudin Yusup berkata, MBM menyambut baik dengan keputusan tersebut agar dapat memberi impak yang besar kepada dunia politik negara.   

“MBM berharap dengan penurunan had umur ini dapat memberi pendedahan awal kepada belia tentang dunia politik di negara ini. 

“Cadangan ini juga dilihat sebagai satu langkah mewujudkan kesedaran kepada rakyat Malaysia supaya turun mengundi dan terlibat dalam proses mengundi di negara ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini. 

Semalam, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam satu kenyataan berkata beliau akan membawa perkara tersebut ke Parlimen dalam masa terdekat bagi mendapatkan kelulusan sebelum dilaksanakan.  

Sementara itu, Setiausaha Agung Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, golongan muda wajar diberi pendedahan mengenai dunia politik dan berpeluang menjadi pengundi yang terdidik. 

“Had umur 18 tahun yang ditetapkan itu wajar kerana seseorang itu sudah dianggap dewasa dan boleh berfikir secara rasional serta mampu membuat pertimbangan yang wajar.

“Walau bagaimanapun, pihak kerajaan perlu mewujudkan program pendedahan politik yang boleh dimanfaatkan golongan muda dan usaha seumpama ini perlu diperkasakan dengan penglibatan lebih ramai belia,” jelasnya. 

HABIS


Untuk siaran Utusan Malaysia 21/09/18






Monday, 17 September 2018

Pertumbuhan ekonomi negara sihat

NIK AMIRAH NIK ZULKIFLI

KUALA LUMPUR 17 Sept.- Peningkatan kadar upah pada paras 6.5 peratus serta kadar pengangguran serendah 3.4 peratus merupakan petanda bahawa pertumbuhan ekonomi negara berada pada tahap yang sihat.

Ketua Ekonomi Malaysian Industrial Development Finance (MIDF) Amanah Investment Bank Bhd., Dr. Kamarudin Mohd. Nor berkata, selain itu, kadar inflasi dijangka terus berada pada paras rendah didorong oleh polisi semasa kerajaan,

“Pada masa sama, ancaman perang perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China serta peningkatan kadar faedah semasa di AS memberi kesan kepada ekonomi negara dalam jangka waktu sederhana.

“Faktor ini memberi kesan negatif kepada perdagangan global serta mewujudkan sentimen negatif kepada ekonomi membangun dan ini juga memberikan tekanan pada pasaran kewangan dan nilai ringgit,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam satu kenyataan semalam menyatakan, kerajaan Pakatan Harapan (PH) berusaha melaksanakan segala janji yang termaktud dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, apabila situasi kewangan negara bertambah baik.

Dalam pada itu, Kamaruddin menambah, tempoh yang diperlukan untuk memastikan keadaan ekonomi kembali stabil adalah bergantung kepada perkembangan semasa sektor luar.

“Seperti yang dinyatakan kerajaan, segala perancangan bakal dilaksanakan apabila keadaan kewangan negara mengizinkan. Segala pelaksanaan program dan initiatif tersebut adalah terpulang kepada dasar semasa dan keutamaan kerajaan,” jelasnya.



Untuk siaran Utusan Malaysia 19/09/2018



Monday, 10 September 2018

Ribuan pengunjung ‘serbu’ Pusat Sains Negara

KUALA LUMPUR 10 Sept.- Cuti umum selama dua hari sempena sambutan ulang tahun keputeraan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V semalam dan Maal Hijrah esok dimanfaatkan oleh ibu bapa untuk membawa anak-anak mereka mengunjungi tempat-tempat menarik sekitar ibu negara termasuk Pusat Sains Negara (PSN) di Bukit Kiara.

Pegawai Sains (Pameran) Pusat Sains Negara, Nurul Haizun Abd. Ghani berkata, kira-kira 2,000 orang mengunjungi pusat berkenaan, hari ini.

“Pusat Sains Negara menyediakan 10 kawasan pameran di dalam bangunan dan 10 lagi dikawasan terbuka seperti Taman Rama-rama dan Makmal Rahsia Semulajadi.

“Pertunjukan dan demonstrasi sains juga diadakan di ruang pertunjukan bagi mendedahkan para pengunjung dengan dunia sains,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sementara itu, seorang pengunjung, Wan Faizah Hanim Ahmad Nawawi berkata, lawatan ke Pusat Sains Negara merupakan aktiviti yang menyeronokkan untuk keluarganya.

“Selain itu dengan kunjungan ini dapat memberikan pendedahan awal kepada anak-anak tentang dunia sains dan teknologi,” jelasnya.

Sementara itu, pengunjung, S. Kumaran berkata, pameran dan pertunjukan di Pusat Sains Negara memberi peluang kepada anaknya untuk menyaksikan sesuatu yang baharu.

“Suasana pembelajaran yang kondusif dan bersesuaian dengan kanak-kanak mendorong saya membawa anak saya ke sini,” katanya.

Dalam pada itu, Raja Nor Hazlinda Raja Azman memberitahu, dia dan keluarganya mengunjungi Pusat Sains Negara buat kali pertama hari ini.

“Kami mengambil kesempatan ini memberi peluang kepada anak-anak mengenali sains dan teknologi dengan lebih dekat,” ujarnya.