NIK AMIRAH NIK ZULKIFLI
KUALA LUMPUR 17 Sept.- Peningkatan kadar upah pada paras 6.5 peratus serta kadar pengangguran serendah 3.4 peratus merupakan petanda bahawa pertumbuhan ekonomi negara berada pada tahap yang sihat.
Ketua Ekonomi Malaysian Industrial Development Finance (MIDF) Amanah Investment Bank Bhd., Dr. Kamarudin Mohd. Nor berkata, selain itu, kadar inflasi dijangka terus berada pada paras rendah didorong oleh polisi semasa kerajaan,
“Pada masa sama, ancaman perang perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China serta peningkatan kadar faedah semasa di AS memberi kesan kepada ekonomi negara dalam jangka waktu sederhana.
“Faktor ini memberi kesan negatif kepada perdagangan global serta mewujudkan sentimen negatif kepada ekonomi membangun dan ini juga memberikan tekanan pada pasaran kewangan dan nilai ringgit,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam satu kenyataan semalam menyatakan, kerajaan Pakatan Harapan (PH) berusaha melaksanakan segala janji yang termaktud dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, apabila situasi kewangan negara bertambah baik.
Dalam pada itu, Kamaruddin menambah, tempoh yang diperlukan untuk memastikan keadaan ekonomi kembali stabil adalah bergantung kepada perkembangan semasa sektor luar.
“Seperti yang dinyatakan kerajaan, segala perancangan bakal dilaksanakan apabila keadaan kewangan negara mengizinkan. Segala pelaksanaan program dan initiatif tersebut adalah terpulang kepada dasar semasa dan keutamaan kerajaan,” jelasnya.
Untuk siaran Utusan Malaysia 19/09/2018
No comments:
Post a Comment