Wednesday, 26 September 2018

Sambut baik had umur layak mengundi 



NIK AMIRAH NIK ZULKIFLI 

KUALA LUMPUR 20 Sept. – Had umur layak mengundi yang diturunkan kepada 18 tahun berbanding 21 tahun disambut baik daripada pelbagai pihak, ini bagi mengambil kira dasar prinsip demokrasi dalam kalangan rakyat. 

Setiausaha Agung Majlis Belia Malaysia (MBM), Ahmad Saparudin Yusup berkata, MBM menyambut baik dengan keputusan tersebut agar dapat memberi impak yang besar kepada dunia politik negara.   

“MBM berharap dengan penurunan had umur ini dapat memberi pendedahan awal kepada belia tentang dunia politik di negara ini. 

“Cadangan ini juga dilihat sebagai satu langkah mewujudkan kesedaran kepada rakyat Malaysia supaya turun mengundi dan terlibat dalam proses mengundi di negara ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini. 

Semalam, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam satu kenyataan berkata beliau akan membawa perkara tersebut ke Parlimen dalam masa terdekat bagi mendapatkan kelulusan sebelum dilaksanakan.  

Sementara itu, Setiausaha Agung Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, golongan muda wajar diberi pendedahan mengenai dunia politik dan berpeluang menjadi pengundi yang terdidik. 

“Had umur 18 tahun yang ditetapkan itu wajar kerana seseorang itu sudah dianggap dewasa dan boleh berfikir secara rasional serta mampu membuat pertimbangan yang wajar.

“Walau bagaimanapun, pihak kerajaan perlu mewujudkan program pendedahan politik yang boleh dimanfaatkan golongan muda dan usaha seumpama ini perlu diperkasakan dengan penglibatan lebih ramai belia,” jelasnya. 

HABIS


Untuk siaran Utusan Malaysia 21/09/18






No comments:

Post a Comment