Monday, 10 September 2018

Ribuan pengunjung ‘serbu’ Pusat Sains Negara

KUALA LUMPUR 10 Sept.- Cuti umum selama dua hari sempena sambutan ulang tahun keputeraan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V semalam dan Maal Hijrah esok dimanfaatkan oleh ibu bapa untuk membawa anak-anak mereka mengunjungi tempat-tempat menarik sekitar ibu negara termasuk Pusat Sains Negara (PSN) di Bukit Kiara.

Pegawai Sains (Pameran) Pusat Sains Negara, Nurul Haizun Abd. Ghani berkata, kira-kira 2,000 orang mengunjungi pusat berkenaan, hari ini.

“Pusat Sains Negara menyediakan 10 kawasan pameran di dalam bangunan dan 10 lagi dikawasan terbuka seperti Taman Rama-rama dan Makmal Rahsia Semulajadi.

“Pertunjukan dan demonstrasi sains juga diadakan di ruang pertunjukan bagi mendedahkan para pengunjung dengan dunia sains,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sementara itu, seorang pengunjung, Wan Faizah Hanim Ahmad Nawawi berkata, lawatan ke Pusat Sains Negara merupakan aktiviti yang menyeronokkan untuk keluarganya.

“Selain itu dengan kunjungan ini dapat memberikan pendedahan awal kepada anak-anak tentang dunia sains dan teknologi,” jelasnya.

Sementara itu, pengunjung, S. Kumaran berkata, pameran dan pertunjukan di Pusat Sains Negara memberi peluang kepada anaknya untuk menyaksikan sesuatu yang baharu.

“Suasana pembelajaran yang kondusif dan bersesuaian dengan kanak-kanak mendorong saya membawa anak saya ke sini,” katanya.

Dalam pada itu, Raja Nor Hazlinda Raja Azman memberitahu, dia dan keluarganya mengunjungi Pusat Sains Negara buat kali pertama hari ini.

“Kami mengambil kesempatan ini memberi peluang kepada anak-anak mengenali sains dan teknologi dengan lebih dekat,” ujarnya.


No comments:

Post a Comment