NIK AMIRAH NIK ZULKIFLI
KUALA LUMPUR 22 Sept.-Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak akan menjadi UMNO yang kedua kerana parti itu mempunyai kredibiliti mereka tersendiri meskipun dikhabarkan ramai bekas ahli UMNO mahu menyertai parti tersebut.
Penganalisis politik, Prof. Dr. Awang Azman Awang Pawi berkata, hanya bekas ahli UMNO yang terpilih sahaja akan menyertai Bersatu namun itu tidak memungkinkan untuk menganggap Bersatu adalah UMNO yang kedua.
“Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang juga Pengerusi Bersatu telah menetapkan beberapa syarat bagi ahli UMNO yang ingin menyertai Bersatu iaitu mereka perlu keluar dari UMNO dan hanya mereka yang dipilih oleh Dr. Mahathir sahaja yang boleh menyertai Bersatu.
“Jika lebih ramai ahli UMNO menyertai Bersatu, ini bakal menjatuhkan keyakinan rakyat terhadap parti tersebut,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia disini hari ini.
Desas-desus mengenai usaha memujuk Ahli Parlimen UMNO supaya menyertai Bersatu semakin hangat diperkatakan apabila Dr. Mahathir mengakui memang terdapat beberapa pemimpin umno menemuinya baru-baru ini.
Sementara itu, Pensyarah di Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr. Mohd. Izani Mohd. Zain berkata, Bersatu tidak mungkin menjadi UMNO yang kedua kerana sudah tentu mereka tidak mahu dilihat hanya bergantung kepada kekuatan daripada penghijrahan Ahli Parlimen UMNO.
“Saya percaya Bersatu tidak mahu dilihat sebagai sebuah parti yang bergantung kekuatan daripada UMNO. Bersatu perlu lebih berhati-hati untuk menerima kemasukan ahli UMNO ini,”katanya.
Dalam pada itu, penganalisis politik, Prof. Datuk Dr Redzuan Othman pula berpandangan, desas-desus penghijrahan pemimpin UMNO ke Bersatu tidak akan sesekali mencemarkan nama baik UMNO.
“UMNO dilihat sebagai sebuah parti yang baik kerana sudah mengungguli tampok pemerintahan selama 60 tahun. Sukar untuk diramal kerana bekas ahli UMNO yang keluar dari parti tersebut tidak mengeluarkan kenyataan bahawa mereka akan menyertai Bersatu.
“Tidak mudah untuk gugat nama baik UMNO kerana parti tersebut mempunyai rekod yang baik selama memerintah negara,” jelasnya.
Untuk siaran Utusan Malaysia 23/09/18
No comments:
Post a Comment