Kegagalan memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum dan agama dikhuatiri boleh menjejaskan pembangunan sosioekonomi negara.
Aktivis masyarakat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, semua pihak tanpa mengira agama, bangsa dan budaya wajib mengambil langkah-langkah sewajarnya bagi menangani isu tersebut.
“Semua rakyat perlu memahami isu perpaduan agar mereka tidak mempolitikkan perkara tersebut.
“Selain itu, pihak berkuasa perlu bersikap lebih serius dalam menangani masalah ini dengan menguatkuasakan larangan menimbulkan isu perkauman, bangsa dan agama,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Semalam, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-249 Hari Yang Pertama di Istana Negara bertitah, usaha mengembalikan perpaduan dalam kalangan rakyat wajib dilaksanakan selepas mereka dilihat berpecah semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Sementara itu, Pensyarah Bahasa dan Kesusasteraan Melayu Universiti Islam Malaysia Cyberjaya (UIM), Prof. Dr. Muhammad Bukhari Lubis berkata, pendidikan awal adalah penting bagi memupuk semangat perpaduan dalam kalangan rakyat.
Menurut beliau, setiap rakyat juga perlu menghormati budaya, agama dan bangsa masing-masing bagi mengelakkan perpaduan yang telah sekian lama dibina terjejas.
“Pendidikan merupakan tunjang utama kepada perpaduan. Pendidikan haruslah dititikberatkan kepada semua pihak.
“Setiap rakyat juga haruslah berfikiran rasional dan sentiasa menghormati sesama kita,” jelasnya.
Muhammad Bukhari menambah, kejayaan sebuah negara bergantung kepada kekuatan perpaduan dalam kalangan rakyatnya maka adalah satu kemestian bagi setiap pihak untuk memberi tumpuan terhadap usaha menyatupadukan penduduk secara berterusan.
Petikkan dari Utusan Malaysia 12 Julai 2018
No comments:
Post a Comment