Acara larian Menara Kuala Lumpur Towerthon Challenge edisi ke-18 yang bertemakan ‘Road To Glory’ akan berlangsung pada 19 Ogos ini bertempat di Menara Kuala Lumpur.
Ketua Pegawai Eksekutif Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd. (Menara Kuala Lumpur), Datuk Rozlan Mohamed berkata, acara tahunan ini diadakan bertujuan memberi peluang kepada peserta yang ingin menguji kekuatan fizikal dan mental mereka.
“Perlumbaan akan bermula dari kawasan parkir terbuka dan peserta perlu mendaki sejauh 800 meter ke lobi utama dan seterusnya memanjat 2,058 anak tangga hingga ke Dewan Bankuet Megaview yang terletak di aras 288 meter Menara Kuala Lumpur.
“Semoga tahun ini lebih ramai peserta akan lebih kompetitif untuk memecahkan rekod yang tercipta sebelum ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Setelah 16 tahun penganjuran, acara berpestij ini menjadi acara sukan lasak utama Menara Kuala Lumpur dan sekali gus mempromosikan lokasi itu sebagai destinasi lawatan wajib bagi aktiviti lasak, kebudayaan dan aktiviti alam semulajadi.
Rozlan turut menambah, istimewanya acara larian tahun ini ialah, peserta Elite dan professional dalam kategori terbuka lelaki akan dilepaskan terlebih dahulu untuk bersaing sesama mereka.
“Kira-kira 100 peserta dengan catatan masa yang terbaik akan memenangi kemeja T ‘FINISHER’ istimewa.
“Peserta tempatan yang mencatatkan masa terpantas bagi kategori terbuka lelaki dan wanita bakal dibawa bertanding ke luar negara dan kos akan ditanggung sepenuhnya oleh Menara Kuala Lumpur.
Acara ini dibuka kepada 3,000 peserta dalam enam kategori yang bakal membawa pulang hadiah wang tunai keseluruhan sebanyak RM42,000 dan wang tunai tambahan sebanyak RM2,000 setiap seorang bagi yang berjaya mencatatkan rekod masa terbaik.
Petikkan dari Utusan Malaysia Siaran 19/07/18
No comments:
Post a Comment