Kerajaan perlu meneliti semula had umur yang dibenarkan untuk berkahwin kepada 20 tahun bagi lelaki dan 18 tahun bagi perempuan supaya mereka lebih matang dan lebih bertanggungjawab dalam menjalani kehidupan seharian.
Presiden Persatuan Wanita Inspirasi Negara Malaysia (WIN), Norhimah Aziz berkata, ketidakmatangan menyebabkan ada yang mencari jalan untuk keluar daripada kemiskinan dengan berkahwin.
“Tidak menolak poligami dalam pembentukan institusi kekeluargaan tetapi untuk perlu layak dari segi umur dan mempunyai keupayaan mental dan fizikal. Isu kemiskinan perlu dibanteras kerana ada yang mencari jalan untuk keluar daripada kemiskinan dengan perkahwinan.
“Naikkan had umur syarat perkahwinan bagi lelaki 18 tahun kepada 20 tahun dan perempuan 16 tahun kepada 18 tahun. Secara logiknya, ia bagi membentuk kematangan pasangan yang ingin berkahwin pada usia muda dan yakin mereka mampu bertanggungjawab untuk menguruskan rumah tangga dengan lebih sempurna sekali gus menghindari perkahwinan dalam kalangan kanak-kanak,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Beliau diminta mengulas kes seorang peraih getah yang berkahwin dengan kanak-kanak berusia 11 tahun dan telah didenda RM1,800 oleh Mahkamah Rendah Syariah di atas dua pertuduhan iaitu berkahwin dan berpoligami tanpa kebenaran.
Hakim Syarie, Mohd. Surbaineey Hussain menjatuhkan hukuman itu terhadap Che Abdul Karim Che Hamid, 41, selepas mengaku bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan tersebut, semalam.
Dalam pada itu, Profesor Undang-undang Keluarga, Wanita dan Kanak-Kanak, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Noor Aziah Mohd. Awal berkata, ibu bapa memainkan peranan penting dalam membina institusi kekeluargaan.
Sehubungan itu, jelasnya, ibu bapa perlu diberi pendedahan awal tentang perkahwinan kanak-kanak dan implikasinya kepada institusi kekeluargaan.
“Sebagai ibu bapa, mereka perlulah memahami keperluan dan keinginan anak-anak mereka. Peranan masyarakat juga sangat penting dalam mengelak kejadian seperti ini berulang kembali pada masa yang akan datang.
“Undang-undang sedia ada lengkap dan hanya perlu ditambah baik. Pihak kerajaan diminta mengkaji lebih terperinci dengan melihat segala aspek yang boleh memberi impak negatif kepada institusi kekeluargaan,” jelasnya.
Petikkan dari Utusan Malaysia 10 Julai 2018
No comments:
Post a Comment