Sunday, 15 July 2018

Wujudkan pusat jagaan kanak-kanak komuniti

NURUL NAJIIHAH JAMALUDDIN dan NIK AMIRAH NIK ZULKIFLI

Pihak kerajaan disarankan untuk mewujudkan pusat jagaan kanak-kanak komuniti yang berdekatan dengan tempat tinggal berbanding tempat kerja.

Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan berkata, langkah tersebut dilihat mampu menangani masalah ibu bapa selain menjana pendapatan kepada komuniti setempat itu sendiri.

“MEF mencadangkan kepada kerajaan untuk mewujudkan pusat jagaan kanak-kanak yang berhampiran dengan kediaman mereka dan yuran yang dikenakan mestilah munasabah dan berpatutan.

“Pusat jagaan kanak-kanak komuniti ini juga diuruskan oleh penduduk setempat yang telah diberikan kursus penjagaan kanak-kanak dan yang bertauliah,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat semalam yang menyasarkan semua agensi kerajaan dapat mewujudkan pusat penjagaan kanak-kanak masing-masing menjelang 1 Januari tahun depan.

Timbalan Menterinya, Hannah Yeoh berkata, kementerian akan membuat audit di semua agensi kerajaan dalam masa terdekat bagi memastikan semua agensi tersebut mempunyai pusat jagaan terutama mereka yang bekerja secara syif.

Mengulas lanjut Shamsuddin berpendapat, penubuhan pusat jagaan kanak-kanak di tempat kerja tidak sesuai berikutan ia akan membebankan para majikan dan juga boleh menurunkan prestasi pekerja khususnya pekerja dalam kalangan wanita.

“Dengan adanya pusat jagaan kanak-kanak di tempat kerja, ibu-ibu dibimbangi tidak dapat memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap tugasan yang mereka lakukan.

“Pihak kerajaan perlu meneliti kesan penubuhan pusat jagaan kanak-kanak ini khususnya kepada sektor swasta,” katanya.

Sementara itu, Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mengalu-alukan tindakan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam mewujudkan pusat jagaan kanak-kanak di tempat kerja.

Bagaimanapun menurut Presidennya, Datuk Azih Muda, jabatan-jabatan atau agensi-agensi berkenaan perlu dikenakan syarat tertentu sebelum dibenarkan mewujudkan pusat jagaan kanak-kanak.

“Pusat jagaan kanak-kanak ini perlu diwajibkan untuk kedua-dua sektor kerajaan dan swasta. Jika pihak swasta tidak dapat memenuhinya, pihak CUEPACS dan MEF perlu berunding bagi mencari jalan penyelesaian dengan pihak majikan berkaitan perkara ini,” katanya.


Petikkan dari Utusan Malaysia 6 Julai 2018

No comments:

Post a Comment